Memaparkan Berita Terkini di Malaysia

Powered by Blogger.
RATAU PUSAT PENYEBARAN AGAMA ISLAM PERTAMA DI RANAU 

Tersebarnya ajaran Islam dikalangan masyarakat Dusun Ratau merupakan suatu fakta sejarah yang sangat menarik, unik dan perlu dikongsi bersama dengan genarasi baharu. Walaupun penyebarannya agak perlahan pada awal kemasukannya seperti yang diungkapkan oleh Saifuddin Haji Daud  “perkembangan Islam di kalangan masyarakat Dusun masih berjalan secara evolusi pada sekitar tahun 1940-an sampai tahun 1950-an” (Saifuddin Hj. Daud,1992:135), tetapi berjaya menanamkan aqidah sehingga mengakar alam diri pemeluknya.

             Sejarah Islam di Ranau  bermula setelah kepulangan Muhammad Ali Kandalis (lebih mesra di panggil Bapak) ke Ratau, kampung halamannya. Sebelum kembali ke Ratau, beliau memeluk Islam dan seterusnya belajar ilmu kebatinan dari Mandur Sarip di Labou, Menggatal pada tahun 1943.  Kelebihan ilmu kebatinan yang ada pada diri Bapak Ali setelah memeluk Islam menambah keyakinan penduduk dan menaikkan namanya sehingga segera tersebar terutama sekali kepada  penduduk yang tinggal di Ratau, Sosondoton, Terelobou, Tagudon dan Karanaan. Kelebihan Islam yang dipelajarinya dari Mandur Sarip  terutama sekali dalam bidang perubatan alternatif (dilakukan melalui perantaraan air doa) yang mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Selain bidang perubatan, Bapak Ali juga sering dijemput untuk “menangah” (menghalau) mion (penunggu) di kawasan tanah yang baru dibuka, mendapatkan tarikh yang sesuai untuk membuat rumah baharu, membaca doa waktu kenduri,  dan sebagainya. 

            Selain itu, penceritaan kembali pengalaman Bapak Ali tentang kebaikan dan kehebatan  Islam (sebab utama mereka memeluk Islam ialah bila mereka anak hidup yang dilahirkan setelah ilmu hitam dibuang) yang dipelajarinya juga sangat membantu penyebaran Islam di kampung-kampung terdekat.

            Walaupun Ratau yang terletak jauh dari pantai (laluan pengembangan agama Islam) dan tidak pernah didatangi oleh mubaligh untuk memperkenalkan Islam namun kehadiran Bapak Ali membawa agama Islam meletakkan Ratau sebagai pusat pengembangan Islam pertama di Ranau. Sejak itu Ratau menjadi terkenal dan Rumah Bapak Ali menjadi tempat persingahan masyarakat dusun yang datang berubat, memahami Islam, memeluk Islam dan seterusnya “mandi lapisan” (suatu istilah bagi mereka yang mempelajari ilmu kebatinan/tarekat).  Selain rumah Bapak Ali di Ratau, rumah-rumah pengamal tarekat yang lain seperti rumah Roman bin Limbongut di Tagudon, rumah Naiman bin Aru di Sesondoton juga menjadi tempat tumpuan dan persingahan penduduk. Ini menjadikan rumah menjadi pusat dakwah Islam kepada masyarakat dusun Ranau yang sebelumnya masih terbelengu dengan faham mitologis dan animisme.

Sebab-sebab Islam mudah diterima di Ranau:
  1. Syarat masuk Islam sangat mudah.
  2. Upacara Islam sangat sederhana.
  3. Ajaran agama Islam yang dibawa oleh Mandur Sarip mudah menyesuaikan dengan tradisi masyarakat Dusun.
  4. Penyebaran Islam dilakukan secara damai, tanpa paksaan dan bergerak secara perlahan.
         Masuknya Islam di Ratau pada tahun 1943 membawa nuansa baharu terhadap cara berfikir, bertindak dalam praktik kehidupan masyarakat dusun yang tinggal di Ratau dan perkampungan sekitarnya seperti Sosondoton, Terolobou, Tagudon, Tudan dan Karanaan. Islam bukan sahaja membawa teologi monotesme yang membebaskan manusia dari belenggu ketahayulan, kemusyirikan, tetapi sekaligus mentransformasikan kepercayaan sebahagian masyarakat Dusun dari faham anamisme dan dinamisme primitif kepada mentauhidkan Tuhan. 

            Agama yang diterima pada gelombang pertama itu, pada prinsipnya lebih bersifat pribadi dan terdapatnya unsur-unsur kekebalan dan kesucian, dan kerana ini, sebahagian penduduk Ranau mula mengenal dan meyakini Islam, walau dalam beberapa hal masih bercampur dengan adat istiadat. Pola-pola keagamaan dan institusi keagamaan yang diterima dari Mandur Sarip dipandang oleh beberapa pemerhati mengandung ajaran-ajaran yang bersifat rashia dan batasan-batasan tertentu yang sangat ketat serta berbau kebatinan. Oleh kerananya, perkembangan ajaran ini hanya berhak dimiliki oleh kalangan pemeluk Islam tertentu dan bukan semberangan orang.

            Penduduk Dusun Ratau yang telah mengenal Islam bersikap mensucikan (mengkultuskan) pribadi seseorang dan dimanifestasikan dalam pengabsahan dan pengakuan tokoh utamanya iaitu Mandur Sarip. Beliau dianggap mempunyai banyak kelebihan dan kekuatan-kekuatan mistik. Segala anjuran dan keputusan bapak Tua (Mandur Sarip) merupakan hukum yang tidak pernah dipersoalkan oleh pemeluk agama Islam Ratau gelombang pertama ini.

            Profail Bapak Ali dalam menyampaikan dakwah Islam melalui tiga cara iaitu; Pertama: pengobatan terhadap keluarga sendiri. Kedua: mengobati saudara dan kaum kerabatnya yang terdekat dan ketiga: mengobati masyarakat setempat yang datang meminta pertolongan. Kaedah ini tidak terlepas dengan doktrin guru utamanya iaitu Mandur Sarip. Proses tanpak bersifat tradisional, seperti mengadakan pengobatan/penyembuhan orang sakit secara tradisional (pengubatan tradisional dengan medium air sebagai penawar penyakit).    Disamping pengembangan Islam melalui tarikat yang dipelopori oleh Bapak Ali, Siman bin Yakub  yang mendapat pendidikan akademik dan bimbingan para mubaligh yang datang kemudian ke Ratau, dilantik menjadi wakil imam untuk menyampaikan ajaran Islam berdasarkan syariat sekaligus menjadi wakil imam Ratau. Walaubagaimanapun khidmat beliau sebagai imam Ratau berakhir sampai tahun 1955, kerana penghijraannya ke Kampung Lohan Ulu dan menjadi Guru di Sekolah Rendah Kerajaan Lohan.

            Dalam beberapa hal, pemahaman keagamaan genarasi pertama (golongan Tua) terkandung dalam empat istilah iaitu syariat, tharikat, hakekat dan ma’rifat (tingkatan dalam tasauf). Empat tahapan ini lebih dikenal oleh pengikut mandur Sarip sebagai tarikat Empat. Atas fakta sejarah tersebut, dapat dikatakan terjadi loncatan tahapan menuju ma’rifat dimana syariat ditinggalkan. Tetapi itulah tahapan dakwah Mandur Sarip “ masuk Islam dulu”, dan terbukti bahawa tarekat mampu menarik ramai penduduk menerima Islam kerana beberapa keistemawaan dan kelebihannya berbanding dengan kepercayaan animisme. Setelah itu baharulah Mandur Sarip menerapkan syariat.

            Kesedaran dan kemahuan yang tinggi tetap semakin timbul dikalangan pemeluk Islam Ratau terutama sekali penduduk yang menerima pendidikan formal. Bersamaan dengan ini, mereka mencari dan mendatangkan imam atau mubaligh untuk mengajar mengaji dan mempelajari syariat Islam. Sehingga dalam perjalanan sejarah selanjutnya, peranan mubaligh muslim  yang bukan sahaja datang dari Papar, Kota Belud dan beberapa tempat sekitarnya, termasuk imam-imam dan mubaligh pendatang dari Jawa turut mewarnai pelaksanaan ajaran islam kepada  masyarakat dusun Ratau. Ratau juga sudah mampu melahirkan imam dikalangan penduduk asli Ratau sebagai penerus pejuangan mereka (mubaligh pendatang). Pada awal tahun 1950-an, perlantikan Siman bin Yakub sebagai wakil imam Ratau membuktikan kemampuan, kesungguhan dan keikhlasan tenaga pengajar yang datang ke Ratau untuk melahirkan penerus dakwah Islam.

             Mandur Sarip walaupun berada di Labau, beliau tidak membiarkan masyarakat Dusun muslim hidup tanpa pemahaman ajaran agama Islam yang benar.  Beliau mengutuskan Imam Radin untuk mengajar mengaji dan memaham Islam di Kampung Tegudon  Lama, tetapi imam tersebut hanya bertahan sekitar dua bulan sahaja. Imam Radin pulang dan kemudian diganti Imam Gilang dan Imam Rahaman dari Kota Belud.  Orang yang mula-mula memeluk Islam di kampung ini ialah  Bandual (Hj Roman). Disamping cara lain mengembang Islam ialah membawa pengikut-pengikut baru keLebou Estet berjumpa sendiri dengan Muhamad Sharif  Radin. Antara anak murid Hj Roman ialah Saimin Akar, Midan, Maran, Hamid, Ghani Gonggot dan Saidi. Antara anak murid Hj Roman yang memperdalamkan ilmu Islam dengan Muhamad Sharif ialah Saimin Akar, Karano, Ghani Gonggot dan Saidi sementera anak murid Ali ialah Rasuman dan Nerudin di Sosondoton.     
0 Komentar untuk " "

Back To Top